PETALING JAYA: Tiga kali masuk penjara namun seorang lelaki masih tidak serik, kali ini dihukum penjara lapan tahun kerana merompak rumah seorang guru dengan mengugut untuk mencederakan wanita itu dan anaknya berumur 18 bulan di sebuah apartmen di Subang Jaya.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Azwarnida Affandi menjatuhkan hukuman itu terhadap S Krishnan, 40, selepas dia mengaku bersalah merompak guru, S. Pusparani, 35, menggunakan sebatang pemutar skru sepanjang 15 sentimeter sebagai senjata yang boleh menyebabkan kematian atau cedera parah.

Antara barang yang dirompak adalah barangan kemas, tiga buah telefon bimbit, sebuah komputer riba dan wang tunai yang bernilai keseluruhan RM25,000 dan ketika kejadian itu mangsa berada bersama anaknya berusia 18 bulan.

Hakim Azwarnida sebelum itu menyoal tertuduh mengapa dia merompak rumah itu sedangkan dia tahu wanita itu berada dengan anaknya di dalam rumah, namun, Krishnan yang sebelum ini dipenjarakan tiga kali atas pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan dadah tidak menjawab soalan itu tetapi berkali-kali memohon maaf atas perbuatannya. — BERNAMA