IPOH: Bekas bendahari Kelab Sukan Dan Kebajikan Jabatan Akauntan Negara Malaysia Perak didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Jumaat atas 25 tuduhan pecah amanah yang melibatkan wang berjumlah RM26,379.95, dua tahun lalu.

Tertuduh, Roziana Mohd Dahalan, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan di Affin Bank, Ipoh Garden antara 9 Januari hingga 3 Oktober 2017.

Hakim Azman Abu Hassan membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ketika kejadian, tertuduh bertugas sebagai Ketua Unit Wang Tidak Dituntut di Jabatan Akauntan Negara Malaysia Perak.

Tertuduh kini bertugas sebagai Ketua Penyelaras Unit Pengurusan Latihan di Institut Perakaunan Negara, Sabak Bernam.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak kurang dua tahun tetapi tidak lebih 20 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili Peguam Ahmad Syahrul Nizam Mohd Radhi.