ALOR SETAR: Bekas gitaris kumpulan rock Ekamatra yang popular era 1990-an, berdepan hukuman penjara maksimum 30 tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang wanita warga emas ketika memecah masuk rumah mangsa Februari lalu.

Md Nurul Azman Salilholdin@Salilhaldin, 44, yang berasal dari Johor, mengaku bersalah sebaik kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Najwa Che Mat, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan menyebabkan kematian Kau Fu Eng, 71, antara jam 2 petang hingga 6 petang 25 Februari lalu di sebuah rumah di No 217, Taman Malaysia, Alor Setar.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Shukur, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin dan mahkamah menetapkan 23 Mei depan untuk penetapan hukuman.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini pula, Md Nurul Azman mengaku tidak bersalah atas dakwaan melakukan pecah rumah di Taman Lumba Kuda, di sini.

Dia didakwa memecah masuk rumah milik Nimal De Silva, 70, pada jam 9.30 pagi hingga 10 pagi 5 Disember 2016 di No 2630 Taman Lumba Kuda.

Tertuduh meminta dibicarakan sebaik kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Arif Mohamad Shariff.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Faraheen Yahya, dan mahkamah menetapkan 23 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu serahan dokumen.

Tertuduh pernah menjadi gitaris Ekamatra selepas memenangi pertandingan Juara Rock Johor dan Juara Rock Johor Tengah 1988.

Ketika tertuduh bersama kumpulan itu, salah satu album mereka terjual melebihi 150,000 unit, selain berjaya ke pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu 1990 dan menjadi finalis Top 5 kategori Penyanyi Berkumpulan Popular.

Bagaimanapun, kumpulan itu tidak lagi aktif di persada seni negara selepas menerbitkan sebuah album terakhir pada 2004.

Tertuduh juga pernah dijatuhkan hukuman penjara enam tahun lalu atas kesalahan merompak seorang pembantu rumah di Ampang, Selangor – berita harian