TAPAH: Seorang pesara guru yang pernah mengajar Ahmad Faizal Azumu di Sekolah Menegah Anderson, Ipoh menyifatkan Menteri Besar itu merupakan seorang pelajar nakal namun memiliki sifat hormat yang tinggi terhadap orang lebih tua.

 

Azizan Hashim, 63, yang merupakan bekas guru disiplin dan jasmani berkata Ahmad Faizal yang terkenal dengan nama panggilan ‘Peja’ sejak zaman sekolah lagi tidak terlepas daripada menerima hukuman dipulas telinga dan ditarik jambang sepertimana anak didiknya yang lain.

 

Menurutnya sebagai guru yang pernah mendidik Ahmad Faizal pada 1983 sehingga 1986 ketika dia di Tingkatan Tiga dan Empat, beliau berbangga dengan pencapaian anak muridnya pada hari ini.

 

Katanya sifat kepimpinan yang dimiliki Ahmad Faizal terserlah ketika di zaman sekolah lagi kerana dia sering diangkat sebagai ketua dan mempunyai pengikut setia.

 

“Kalau diingatkan gelagat Peja ketika di sekolah dulu memang banyak perkara yang mencuit hati terutama bab pengurusan sahsiah.  Memang banyaklah kenangan dengan Peja ni…sebab dia ni seorang yang nakal tetapi hormat pada orang tua.

“Siap ada “geng” sendiri,setakat tarik telinga itu perkara biasa yang saya buat dengan dia,”katanya ketika ditemuramah.

 

Azizan berkongsi pengalaman mengajar Ahmad Faizal selepas menerima Anugerah Kepimpinan Tokoh Guru daripada Menteri Besar itu sempena Sambutan Hari Guru di sini petang tadi.

Beliau berkata berdasarkan pengalaman mengajar Ahmad Faizal beliau yakin Menteri Besar itu mampu menjadi seorang pemimpin yang ikhlas dan jujur.


“Setiap guru mahu melihat anak muridnya berjaya, dan melihat Peja kini menjadi Menteri Besar, saya bersyukur, terharu dan teruja malah perasaan bercampur baur.

“Bangga, dan saya harap agar dia akan menjadi pemimpin yang hebat dan cemerlang memajukan Perak. Nasihat saya kepada dia buatlah dengan ikhlas dan jujur,” katanya.

Memulakan kariernya sebagai seorang guru di Sabah, Azizan yang mengajar hampir 40 tahun di Anderson mengakhiri tugasnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Puteh sebelum menyertai dunia wartawan sukan di negeri ini.