KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan bekas jurulatih pasukan terjun kebangsaan untuk membela diri atas pertuduhan merogol seorang atlet penerjun wanita, September tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian terhadap Huang Qiang, 36, yang berasal dari China selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap sabitan lepas dan bebas tanpa dipanggil bela diri yang diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen pada 9 April lalu.

Dalam keputusannya, Azman berkata, Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf apabila membuat perintah lepas dan bebas di akhir kes pendakwaan.

”Keterangan dalam aplikasi WeChat, keterangan saksi pendakwaan kelima, keenam, ketujuh dan kelapan boleh diterima sebagai keterangan ‘similar fact’ dan tidak memperjudiskan kes terhadap tertuduh.

”Selepas meneliti rekod rayuan iaitu alasan penghakiman dan keterangan saksi-saksi, rakan-rakan mangsa, serta hujahan pihak-pihak, mahkamah mendapati

”Saya memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dan mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

”Mahkamah juga membatalkan perintah lepas dan bebas dan memerintahkan responden dipanggil membela diri,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Qiang yang mendapat taraf warganegara Malaysia didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 20 tahun satu bulan di dalam gim kering (dry gym), Gimnasium Terjun, Kompleks Akuatik Sukan Negara, Kompleks Sukan Bukit Jalil pada 5.30 petang, 26 September tahun lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini (Rabu), Timbalan Pendakwa Raya Aznika Mohd Anas bertindak sebagai pemohon manakala Qiang diwakili peguam Mohd Hisham Md Nen.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di sini Qiang memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dan dijangka memanggil tiga saksi pembelaan.

Mahkamah membenarkan bapa dua anak itu diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan iaitu pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Perbicaraan peringkat bela diri ditetapkan 21 dan 22 November ini – berita harian