KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap bekas juruteknik kerana mengedar dadah dua tahun lalu.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Mohd Moriff Zulkarnaim, 30, selepas didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 61.21 gram pada 1 November 2016.

Mengikut pertuduhan, tertuduh ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang pada jam 11.30 pagi di rumah beralamat Lorong Sekilau 31, di sini.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan bersama beg kain di bahagian dapur rumah.

Pemeriksaan menemui tujuh paket plastik lut sinar dipercayai mengandungi dadah serta kad pengenalan dan lesen memandu tertuduh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39 B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39 B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Mariana dalam penghakimannya memaklumkan keterangan yang diberi tertuduh dalam prosiding kehakiman sebelum ini adalah bersifat penafian dan meragukan.

Malah beliau turut mendapati pihak pembelaan juga gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

Katanya, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Muhd Asyraf Md Kamal berjaya membuktikan terdapat kes yang melangkaui keraguan munasabah.

Tertuduh yang memakai pakaian serba putih kelihatan tenang selepas keputusan dibacakan hakim.

Dia yang diwakili Peguam Masliela Ismail kemudian membuat rayuan supaya hukuman itu diringankan kerana perlu menjaga ibunya yang sudah tua – berita harian