IPOH: Seorang bekas kerani akaun didakwa Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa di atas 138 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM103,740.55, sejak tujuh tahun lalu.

Tertuduh, V Pathumavethi, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Dia yang mempunyai penguasaan ke atas harta milik sebuah firma guaman dituduh dengan curangnya melakukan pecah amanah iaitu menyalahgunakan harta dan menjadikan harta itu bagi kegunaan sendiri melalui cek bagi pembayaran baucar yang dibuatnya.

Ibu kepada dua anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jalan Dato Tahwil Azar, sejak Januari 2012 hingga Januari 2015.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta boleh didenda.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md Yusof menawarkan jaminan sejumlah RM40,000 dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh diwakili peguam K Nahtan pula meminta jaminan dikurangkan kepada RM20,000 dengan alasan tertuduh mempunyai dua anak yang masih belajar.

Azman kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 27 Mac ini.