PETALING JAYA: Bekas Ketua Pemuda Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) dan isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang syarikatnya bernilai RM69,047, tahun lalu.

Datuk Lee Kim Hock, 35, dan isteri, Zhong Pei Ling, 32, warga China, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa sebagai pengarah Syarikat Myorto Footcare Sdn Bhd yang diamanahkan dengan harta iaitu 13 keping cek bernilai RM69,047 melakukan pecah amanah dengan curang menyalahgunakan harta itu.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Blok A, 10 Boulevard, Jalan Cempaka, Kg Sg Kayu Ara di sini pada Januari 2017.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda, jika disabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Asyraf Ashy’ari Kamaruzaman mencadangkan jaminan masing-masing RM15,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Manjit Singh yang mewakili Kim Hock dan Pei Ling bagaimanapun memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya perlu bekerja bagi menyara keluarga.

Hakim S Mabel Mutiah membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 November ini untuk sebutan semula kes.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Turut hadir dalam prosiding itu, Datuk Michael Wong sebagai peguam pemerhati bagi pihak pengadu – berita harian