IPOH: Lazimnya, apabila mencecah usia 77 tahun, seorang itu lebih gemar meluangkan masa untuk berehat dan bermain dengan cucu.

Bagaimanapun bagi bekas pesara komando tentera, Yaacob Badu, pada usia itu, dia masih mahu terus memberi khidmat kepada masyarakat melalui penglibatannya sebagai sukarelawan Yayasan Bina Upaya (YBU).

Jika sepanjang 21 perkhidmatan dalam tentera, dia berkhidmat untuk menjaga keamanan negara, tetapi dengan YBU, dia mencurahkan khidmat kepada masyarakat yang memerlukan.

ac5f0c47-70c1-44ca-8a78-214b1b77ed8aMenyertai komando tentera seawal usia 19 tahun pada 1962, Yaacob bersara sebagai Pegawai Waran pada tahun 1983.

“Dengan menyertai sukarelawan YBU, sebenarnya saya dapat belajar banyak perkara baru di samping dapat mengenali rakan-rakan baru,” katanya kepada Suara Perak di pusat membeli belah UO di sini pada Selasa.

Yaacob ditemui ketika membantu kanak-kanak miskin membeli baju raya sempena program Jejah Ramadan: Kasih Arif Untuk Daif yang dianjurkan Surau Al – Hijrah Rumah Pangsa Jalan Hospital dengan kerjasama RTM, Kolej Haaza, YBU, Chefkop dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Negeri Perak.

Menceritakan pengalamannya, bekas komando itu berkata, dua peristiwa yang sukar dilupakan ialah ketika bersama-sama rakan-rakannya bertempur dan berjaya membunuh 11 komunis di Gunung Gading, Lundu di Sarawak.

Tinggal di Flat Sri Conolly, Jalan Pasir Puteh, empat anak Yaacob berkhidmat dengan angkatan tentera, tiga dengan tentera udara manakala seorang di bahagian perubatan, di samping seorang pensyarah dan seorang lagi juru ukur bahan.

Dia berazam akan terus berkhidmat sebagai sukarelawan YBU selagi terdaya dan berharap lebih ramai anak muda menyertainya.

“Saya berpegang kepada prinsip semasa di dalam tentera, selagi boleh merangkak, kita belum mati, teruskan berjuang,” katanya penuh semangat.

Sementara itu, pegawai penyelaras sukarelawan YBU, Salim Putra Ahmad Shibi berkata, sesiapa sahaja boleh menjadi sukarelawan YBU asalkan mereka berminat dan sihat.