SEPANG: Bekas Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Khalidah Mohd Darus, meninggal dunia selepas dipercayai bergelut dengan anaknya yang juga pesakit mental.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, berkata ketika kejadian, hanya mangsa yang berusia 60 tahun dan suspek yang berusia 25 tahun, berada di rumah.

Katanya, anak sulung mangsa berada di tempat kerja dan suami mangsa pula hanya pulang ke kediaman itu pada hujung minggu kerana bertugas di Johor Bahru.

“Suspek memang mempunyai masalah kesihatan mental sejak lahir dan perlu menjalani rawatan serta mengambil ubat setiap hari bagi mengawal masalah dialami.

“Rawatan terbaru diambil oleh suspek kira kira dua minggu lalu dan suspek juga tidak menunjukkan sebarang masalah kerana sering dikawal oleh ahli keluarga,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan diserang oleh suspek dan berlaku pergelutan berdasarkan kesan darah yang ditemui di beberapa lokasi di tempat kejadian.

“Kesan pergelutan terdapat pada dinding pintu masuk rumah, kesan darah di sofa serta kesan tompokan darah dalam bilik tidur bersebelahan dapur.

“Suspek dipercayai sempat menggunakan mop untuk mengelap kesan darah apabila terdapat titisan air bercampur darah dari bahagian dapur, bilik dan ruang tamu.

“Tiada pergerakan atau kesan lain di tempat kejadian dan di tingkat satu dan dua rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian juga mendapati tiada sebarang kesan tikaman terhadap mangsa.

“Mangsa didapati mengalami kesan lebam pada kedua tangan, perut, patah gigi serta lebam pada bibir kesan dipercayai akibat hentakan kuat manakala hidung mangsa juga disyaki patah selain mengalami luka kecil di dahi.

“Setakat ini, tiada saksi bebas yang melihat kejadian itu dan pengadu hanya tiba di rumah berkenaan selepas kejadian lalu terus menghubungi abang tirinya dalam keadaan cemas sebelum menghubungi Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat manakala suspek juga dibawa ke hospital sama untuk pemeriksaan kesihatan lanjut – berita harian