IPOH: Bekas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Zakaria Kasa, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan salah guna kuasa melantik anak dan menantunya di universiti berkenaan empat tahun lalu.

Tertuduh, yang yang memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas sebagai Naib Canselor UPSI yang juga Pengerusi Mesyuarat Pengurusan Eksekutif bil.24/2014 ketika itu, telah menggunakan kuasa meluluskan lantikan anaknya, Mohd. Fauzi Zakaria ke Lantikan Kontrak Jurutera (Awam) Gred J41 di bilik BC 2-7, Bangunan Canselori, UPSI Tanjung Malim antara pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari 8 Oktober 2014.

Tertuduh turut didakwa menggunakan kuasa meluluskan lantikan terhadap menantunya, Siti Nooraishah Mansor sebagai calon simpanan 2 bagi jawatan Juruteknik FT17 secara kontrak di lokasi dan waktu yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Nurul Wahida mencadangkan wang jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan atas alasan beliau merupakan pesara kerajaan yang masih menanggung seorang isteri yang tidak bekerja dan dua anak yang masih belajar.

Indra Nehru kemudian membenarkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin ahli keluarga terdekat bagi kedua-dua pertuduhan. Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.

Mahkamah menetapkan 7 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.