IPOH: Seorang bekas pegawai eksekutif perundangan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dihukum penjara sembilan bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini (Selasa) selepas mengaku bersalah atas 15 pertuduhan pilihan menipu orang awam beberapa tahun lalu.

Hakim S Indra Nehru menjatuhkan hukuman itu terhadap G.M. Naidu Go Koo Laram @ Gokoolaram, 66, selepas dia mengaku melakukan penipuan terhadap 15 orang awam berumur di antara 25 hingga 63 tahun sehingga mendorong mereka menyerahkan wang tunai RM300 kepadanya sebagai bayaran kepada YBGK bagi mendapatkan khidmat bantuan guaman, sedangkan perkhidmatan itu adalah percuma.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di antara 2012 hingga 2014 bagi mendapatkan perkhidmatan guaman membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM4,500.

Bagi pertuduhan itu, Gookolaram didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut seksyen yang sama di mana jika sabit boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Gokoolaram didakwa melakukan semua kesalahan itu di Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam di Jalan Dato’ Maharajalela di sini antara 8 pagi hingga 5 petang, antara 2012 hingga 2014.

Sebelum dijatuhkan hukuman, Gokoolaram menerusi peguamnya M Kanthan merayu dikenakan hukuman ringan berikutan menghidapi pelbagai penyakit termasuk strok dan masalah pundi kencing serta perlu ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) setiap bulan.

“Beliau juga perlu menjaga isterinya kerana pergerakannya agak terbatas serta perlu membawanya ke HRPB setiap tiga bulan,” katanya.

Hakim Indra Nehru memerintahkan Gokoolaram menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan akan dipenjara sebulan lagi jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, Kanthan meminta agar hukuman terhadap Gookolaram ditangguhkan sehingga selesai membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah membenarkan hukuman terhadap tertuduh ditangguhkan dengan jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Nurul Wahida Jalaluddin. – BERNAMA