IPOH: Seorang bekas pegawai Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah bagi tujuan kerja rasmi, dua tahun lepas.

Tertuduh, R. Thangavelu, 61, yang ketika itu bertugas di Bahagian Perkhidmatan Teknikal jabatan berkenaan, didakwa menerima wang tunai RM300 dengan tiada balasan daripada Mohamad Imran Abdullah, yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengan tertuduh.

Pertuduhan itu didakwa dilakukan bilik pejabat Thangavelu di Tingkat 1, Bangunan Makmal Kimiabumi, Bahagian Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Mineral dan Geosains di sini pada kira-kira 4.10 petang, 4 September 2015.

Thangavelu dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Nurul Wahida Jalaluddin menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Thangavelu, yang tidak diwakili peguam, meminta mahkamah mengurangkan jaminan tersebut memandangkan beliau dan isterinya tidak lagi bekerja serta terpaksa menanggung anak yang masih bersekolah.

Hakim S. Indra Nehru menetapkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan kes serta melantik peguam pada 29 Ogos ini.