GEORGETOWN: Hanya senyuman gembira mampu diukirkan seorang lelaki selepas dia dibebas dan dilepaskan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hari ini daripada tuduhan mengedar ganja tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohammad Bakri Mazlan, 25, yang juga bekas pekerja sebuah kilang dilihat bersalaman dengan peguam dan ahli keluarganya selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Abdul Wahab Mohamed membaca keputusan itu terhadapnya.

Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh selepas dia didapati tidak tahu bungkusan itu mempunyai dadah.

Menurutnya, berdasarkan kepada keterangan saksi pendakwaan kelapan, tertuduh tidak ada pengetahuan mengenai dadah, tidak ada milikan dan bukan pemilik dadah terbabit.

“Mengikut saksi kelapan, tertuduh hanya menerima arahan daripada seorang individu untuk mengambil 12 bungkusan yang didakwa barang seludup daripada laut ke lori dan bukannya dadah.

“Saksi kelapan juga mendakwa mereka diupah seorang lelaki untuk mengangkat barang itu dan tidak mengetahui apa kandungannya,” katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan, Mohammad Bakri didakwa bersama dua lagi yang masih bebas didakwa mencapai niat bersama mengedar dadah berbahaya Kanabis seberat 447, 032.5 gram pada 23 Mei 2015 kira-kira jam 6 pagi di Tapak Pembinaan Angsana Senja Aman, Teluk Bahang di Barat Daya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum gantung atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebat tidak kurang daripada 15 sebatan sekiranya tidak dihukum gantung.

Seramai lapan saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Emma Syafawati Abdul Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Hussaini Abdul Rashid – berita harian