IPOH – Seorang bekas pekerja kontrak terlepas hukuman gantung setelah Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah ladang kelapa sawit, enam tahun lalu.

Hakim, Datuk Samsudin Hassan memutuskan demikiam terhadap, P Moses, 32, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Moses sebelum ini dituduh bersama seorang individu yang masih bebas melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas Choo Mun Hoo, 30, di sebuah ladang kelapa sawit.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yag mambawa hukuman mati mandatori itu di ladang terletak di Batu 4, Jalan Teluk Intan – Bidor kira-kira jam 5 petang pada 23 September 2011.

Moses diwakili peguam, Charan Singh manakala pendakwaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling.