KUALA LUMPUR: Bekas pelajar sebuah kolej swasta milik Kerajaan Kedah terkejut apabila mendapati sejumlah pinjaman pengajiannya yang diterima daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dipotong pengurusan kolej itu tanpa pengetahuannya.

Noraini Muslim, 26, berkata sebanyak RM200 hingga RM500 daripada pinjaman PTPTN diambil pihak kolej berkenaan pada setiap semester selama enam tahun tanpa mengemukakan sebarang perincian berhubung perkara itu.

Beliau berkata, tidak cukup dengan itu, elaun zakat yang sepatutnya diterima RM400 setahun sepanjang enam tahun pengajiannya juga turut dipotong sehingga separuh dengan alasan terdapat tunggakan yuran masih belum dijelaskan.

Katanya, beliau terkejut bagaimana boleh wujud tunggakan sedangkan yuran sudah dibayar secara potongan terus pinjaman PTPTN yang diterima setiap semester oleh pihak kolej.

“Saya menerima pinjaman PTPTN berjumlah RM8,000 setiap semester tetapi daripada jumlah itu, yuran pengajian sebanyak RM3,000 hingga RM3,500 sudah dipotong secara terus.

“Jadi, sepatutnya saya menerima baki bayaran untuk sara diri sebanyak RM4,500 hingga RM5,000 setiap semester.

“Bagaimanapun, saya terkejut terdapat potongan ‘ghaib’ sebanyak RM200 hingga RM500 bagi setiap semester selama enam tahun yang menyebabkan saya tidak menerima baki sepatutnya, malah pihak kolej gagal memberikan butiran terperinci kenapa potongan itu dilakukan,” katanya pada sidang media bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dan Sekretariat Latihan dan Pendidikan PPIM, Juliana Sawarin.

Noraini yang menyambung pengajian di kolej berkenaan bagi diploma dan Ijazah Perbankan Islam Dan Kewangan pada tahun 2010 hingga 2016 berkata, beliau sepatutnya menerima pinjaman keseluruhan PTPTN berjumlah RM70,000.

Sementara itu, Nadzim berkata, pihaknya sudah menerima 30 aduan berkenaan isu pelajar institut pengajian tinggi swasta (IPTS) diperdaya pusat pengajian mereka dengan bayaran tersembunyi dikenakan.

Katanya, ada pelajar dibuang kolej apabila mempersoalkan mengenai pemotongan bayaran PTPTN yang mencurigakan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kementerian Pendidikan mewujudkan satu jawatankuasa khas untuk memantau sebarang kelemahan prosedur pusat pengajian tinggi yang mengkhianati agenda pendidikan negara.

“Jawatankuasa khas itu juga perlu menyelaraskan caj bayaran pengajian yang tetap bagi mengelak pelajar diperdaya, dipergunakan dan dianiaya.

“Bayaran zakat pula tidak sepatutnya dipotong kerana ia amanah kepada asnaf yang sudah memenuhi kriteria penerima.

“Orang ramai diminta tampil memberi maklumat jika terdapat kes sama berlaku khususnya pelajar dari luar bandar yang banyak diperdaya wakil kolej swasta,” katanya.-Berita Harian