IPOH: Seorang bekas pemain bola sepak Perak ditahan kelmarin kerana dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian samun bersenjata bersama rakannya sejak Februari lalu.

Bekas pemain berusia 32 tahun dan rakannya berusia 33 tahun, ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dalam dua serbuan berasingan antara jam 11.30 malam kelmarin hingga 1 pagi semalam.

Difahamkan, pemain bola sepak berkenaan melarikan diri ke Sungai Petani, Kedah selepas dipercayai melakukan kegiatan samun menggunakan senjata terhadap dua wanita masing-masing berusia 20 tahun pada Februari lalu.

Bagaimanapun suspek bersama rakannya itu dipercayai melakukan samun terhadap seorang pelajar perempuan berusia 23 tahun membabitkan kerugian beberapa barang peribadi termasuk kad kredit serta wang tunai berjumlah RM200 dan beg tangan berjenama bernilai RM1,500 di Jalan Leong Kim Seng pada jam 4.40 petang Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata kedua-dua suspek ditahan malam kelmarin susulan kedua-duanya dipercayai terbabit dalam kegiatan samun di Jalan Kamaruddin Isa di sini, Februari lalu.

Katanya, dalam kejadian pada jam 11.10 malam itu, kedua mangsa didatangi dua lelaki sebelum mengacukan pisau dan mengugut supaya menyerahkan beg tangan.

“Dalam kejadian itu mangsa kehilangan pengenalan peribadi serta kerugian dua telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,340,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata berikutan itu, kedua-dua suspek ditahan malam kelmarin dalam dua serbuan berasingan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan sama di beberapa lokasi di bandar raya ini.

“Dalam serbuan itu, turut dirampas empat telefon bimbit, sebuah motosikal dan sebatang besi.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Isnin ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya – berita harian