SEREMBAN: Seorang bekas pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 14 pertuduhan menyalahguna kad diesel milik sebuah syarikat logistik di Nilai, tahun lalu.

Pengakuan Zahari Mamat, 48, itu direkodkan selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim G Ramesh.

Mengikut pertuduhan, Zahari didakwa melakukan pecah amanah dengan menggunakan kad diesel Petronas milik Syarikat Asiagroup Sdn Bhd yang diamanahkan kepadanya.

Dia yang ketika itu bekerja sebagai pemandu lori, mengisi minyak diesel berjumlah antara RM200 sehingga RM500 bagi setiap transaksi berjumlah RM6,500 untuk kegunaan sendiri.

Perbuatan itu dilakukan di Stesen Minyak Petronas Taman Semarak, Nilai, dekat sini, antara 2 Julai sehingga 7 Ogos 2017.

Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dengan sebatan dan denda.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurhafiza Harun, manakala tertuduh diwakili Mohamad Zahid Ahmad dan Sivam Mariappan.

Terdahulu Nurhafiza memohon supaya mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM45,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 27 September ini.

Mohamad Zahid kemudian memohon supaya jaminan dikurangkan kerana tertuduh kini tidak bekerja dan perlu menanggung lima anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM34,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh gagal menjelaskan jaminan dan terpaksa ke penjara sementara menunggu sebutan semula kes – berita harian