IPOH: Seorang bekas pemandu lori yang menghadapi tuduhan membunuh ibu kandungnya terlepas daripada hukuman gantung apabila dia dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, yang mendapatinya tidak siuman ketika melakukan perbuatan itu.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Chan Chee Keong, 56, ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di sini sehingga tempoh yang diperkenan oleh Sultan Perak mengikut Seksyen 348 Akta Kanun Tatacara Jenayah.

Pesuruhjaya Kehakiman Anselm Charles Fernandis dalam penghakimannya berkata, beliau berpuas hati dengan keterangan yang diberikan Pakar Psikiatri, Hospital Bahagia, Dr Ian Liyod.

Selain itu, katanya, mahkamah mengambil maklum bahawa pihak pendakwaan tidak mencabar pembelaan ketidaksiuman (defence of insanity) yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

7e440aca-0de6-4c3b-bb7c-152987ad3f78

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Menurut Hakim Anselm, tertuduh telah melakukan perbuatan itu dalam keadaan tidak waras dan tidak mengetahui perbuatan yang dilakukan itu merupakan satu kesalahan atau bertentangan dengan undang-undang.

Justeru, mahkamah memutuskan untuk membebaskan tertuduh mengikut Seksyen 347 Kanun Tatacara Jenayah.

Mengikut pertuduhan, Chan didakwa membunuh Low Kew@ Low Lin Kiew, 74, di kediaman mereka di No. B-23, Kampung Baru Cina, Air Kuning dekat Tapah kira-kira jam 6.45 petang, pada 27 Sept 2016.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya How May Ling dan Fatin Farahiah Nadzri, manakala tertuduh diwakili peguam bela Datuk Naran Singh, Farhan Fadzil dan J. Matthews.