KUALA LUMPUR: Bekas pemandu peribadi kepada Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail dihukum penjara 36 bulan, denda RM45,000 dan satu sebatan oleh tiga Mahkamah Majistret di sini, semalam atas 25 pertuduhan memalsukan cek dan menyalahgunakan harta milik bekas majikannya itu membabitkan lebih RM700,000 dua tahun lalu.

Mohamad Faisal Mohamad Sanusi, 31, dijatuhi hukuman itu selepas dia mengaku salah sebaik saja kesemua pertuduhan dibacakan masing-masing di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin, Maizatul Munirah Abdul Rahman dan Mahyudin Mohmad Som.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 25 Februari lalu.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara 45 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-24, Mohd Faisal didakwa melakukan pemalsuan 24 cek milik Razali, dengan jumlah yang berjaya ditunaikan adalah RM762,706 dengan niat supaya dokumen palsu itu digunakan bagi tujuan untuk menipu pihak bank.

Kesalahan itu dilakukan masing-masing di Maybank Wangsa Maju dan Ampang Park serta Standard Chartered Jalan Ampang di sini, antara 4 Ogos 2016 dan 5 November 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Mohamad Faisal turut didakwa dengan satu pertuduhan menunaikan satu cek bernilai RM35,000 milik Razali dan dengan curangnya menyalahgunakan wang itu di Standard Chartered Jalan Sultan Ismail di sini, pada 31 Oktober 2016.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K Vasugi, Nur Farah Adilah Noordin dan Noorelynna Hanim Abd Halim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding itu juga, peguam M Segaran hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak mangsa.

Terdahulu, bapa tiga anak itu merayu mahkamah memberikan hukuman ringan dan berjalan serentak kepadanya atas alasan dia telah menyesal dengan apa yang dilakukannya.

“Saya sedar apa yang saya lakukan salah tapi saya buat perkara tu lepas saya dibuang kerja. Saya buat dalam keadaan marah dan dendam,” rayunya sambil menangis.

Pihak pendakwaan bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh tidak bermoral lebih-lebih lagi ia dilakukan terhadap majikannya sendiri – berita harian