Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TAIPING: Seorang bekas pemilik kilang cedera parah di kedua-dua belah kaki akibat terkena letupan bom buatan sendiri yang dipasang di dalam keretanya di Jalan Pengkalan Setia, Taman Pengkalan Setia, Simpang pada malam Ahad.

Dalam kejadian pada pukul 10 malam itu, mangsa yang berusia 50-an, parah di kakinya apabila terkena letupan bom yang disyaki dipasang oleh along yang memburunya bagi mendapatkan bayaran hutang.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, pihaknya dimaklumkan oleh orang awam mengenai insiden letupan tersebut dan siasatan mendapati letupan berlaku apabila mangsa membuka pintu keretanya yang diletakkan di luar rumah.

Katanya, mangsa yang bekerja di sebuah kilang kejuruteraan Bukit Mertajam, difahamkan berada di Taiping untuk melawat anaknya yang belajar di situ. Sebelum ini, mangsa pernah menetap di Taiping sebelum berpindah ke Bukit Mertajam.

“Mangsa yang bersiap untuk pulang ke Bukit Mertajam, membuka pintu bahagian pemandu apabila satu letupan kuat berlaku dan mencederakan kedua-dua kaki mangsa.

“Bahan letupan itu dipasang dengan cara tali diikat ke pintu, dan akan meletup sebaik sahaja tali ditarik semasa pintu dibuka,” katanya kepada pemberita.

Harrith Kam berkata, hasil pemeriksaan sinar-X mendapati ada serpihan menyerupai skru dalam kedua-dua bahagian kaki mangsa.

Katanya lagi, turut ditemui dalam kenderaan mangsa yang rosak ialah beberapa barangan seperti besi, bateri, wayar dan tali yang dipercayai komponen bom buatan sendiri yang bertujuan mendatangkan kecederaan.

“Mangsa memaklumkan kepada polis bahawa beliau pernah memiliki sebuah kilang kejuruteraan sendiri yang mengalami masalah. Pada tahun 2013, mangsa membuat pinjaman dari along di Seberang Perai tetapi tidak mampu membayarnya,” katanya.

Menurut Harrith Kam, mangsa mengesyaki dia diekori oleh kumpulan along berkenaan ke Taiping dan kejadian letupan itu adalah daripada perbuatan along tersebut yang masih menagih hutang yang belum dilunaskan itu.

“Pihak polis merayu sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai insiden ini atau suspek kejadian untuk tampil membantu siasatan kes yang disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah,” katanya.

Beliau memberitahu, polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti dan mengesan kumpulan along terbabit.