BAGAN DATUK: Bekas pemimpin terdahulu diingatkan supaya jangan mengaibkan orang lain sekiranya tidak mahu aib mereka dibuka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana tiada pemimpin yang begitu sempurna sehingga tidak pernah melakukan sebarang kesalahan.

“Semua kita tidak maksum, ertinya kita semua ada kelemahan dan tidak sempurna, jadi apabila kita tidak sempurna, maka sudah tentu kita akan buat kesilapan.

“Katakan duit negara hilang disebabkan kononnya salah keputusan…di zaman kita dahulu juga buat kesalahan sama..tapi kita tidak mahu buka sebab rasa hormat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Veteran UMNO Bahagian Bagan Datuk di Hutan Melintang pada Sabtu.

Justeru, beliau memberitahu bekas pemimpin tersebut seharusnya menghargai jasa parti serta ahlinya dan tidak bersifat “habis madu sepah dibuang”.

Beliau berkata, kehebatan seseorang pemimpin itu juga bukanlah disebabkan dirinya sendiri tetapi disebabkan organisasi dan orang bawahan yang setia serta sentiasa memberi sokongan padu.

“Saya harap sesiapa sahaja pernah berada di kemuncak, di sesuatu kedudukan itu, jangan pernah ingat bahawa kehebatan itu hanya kerana dirinya.

“Kembali ke perjuangan asal…kembali mendokong organisasi yang pernah membawanya ke kemuncak…kembali kenang budi kepada mereka yang menyokong,” ujar beliau.

Sebaik menghadiri mesyuarat tersebut Timbalan Perdana Menteri turut menziarahi rumah sahabat lamanya, Beh Song Wan sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Taman Desa Bersatu, di sini.