KUALA LUMPUR: Suasana Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, bertukar pilu sebaik

bekas pengarah di Kementerian Kesihatan dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan projek bernilai RM12,300 untuk syarikat teknologi maklumat milik anaknya, lima tahun lalu.

S Tselvin, 61, yang hadir ke mahkamah memakai sari berwarna kuning dan ungu, tidak dapat menahan air mata sebaik Hakim Azura Alwi melepas dan membebaskannya daripada tuduhan itu apabila mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

“Mahkamah mendapati tertuduh tidak mempunyai kepentingan dalam syarikat Fort Mark Sdn Bhd yang dimiliki oleh anak keduanya.

“Keterangannya tertuduh konsisten dan bukan penafian semata-mata atau difikirkan kemudian,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Tselvin didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan apabila memilih Syarikat Fort Mark Sdn Bhd milik anaknya, R Pravin, melaksanakan kerja penambahbaikan Portal Nursing di bahagian itu dengan harga kerja RM12,300, sedangkan pada masa itu syarikat terbabit belum ditubuhkan.

Tselvin didakwa melakukan perbuatan itu masing-masing di Bahagian Kejururawatan, kementerian itu di Putrajaya antara 13 hingga 15 Oktober 2014.

Kedua-dua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Noor Azwa, manakala tertuduh diwakili peguam S S Devanandan – berita harian