AYER KEROH: Bekas Pengarah Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mencabul seorang wanita, tiga tahun lalu.

Amir Hamzah Abdul Aziz, 59, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Firdaus Salleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 24 tahun dengan cara memeluk dan mencium mulut dengan niat hendak mencabul kehormatannya.

Kejadian itu didakwa dilakukan tertuduh di Pusat Perkhidmatan BN di Kota Cemerlang, Ayer Keroh, kira-kira jam 10 pagi pada 9 September 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari mencadangkan jaminan RM5,000 dikenakan ke atas tertuduh, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguambela Azrul Zulkifli Stork merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya melakukan aktiviti kemasyarakatan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Oktober depan bagi serahan dokumen.

Tertuduh membayar jaminan berkenaan.