BEKAS: penggali kubur berusia 72 tahun bukan sahaja masih tidak berkahwin, malah hidup sebatang kara tanpa keluarga selain mengalami pergerakan terbatas sejak tiga tahun lalu.

Azmi Shahidan berkata, akibat dilanggar sebuah motosikal sewaktu melintas jalan di kawasan berdekatan rumahnya di Kampung Tanah Liat, Bukit Mertajam, tiga tahun lalu, dia patah tulang betis kanan.

Selepas menjalani pembedahan memasukkan besi, dia kini hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda atau tongkat dalam menjalani kehidupan sehariannya.

“Walaupun pergerakan terbatas, saya mampu menguruskan diri sendiri dan anak saudara ada menjenguk dan bertanya khabar memandangkan saya tinggal seorang di rumah ini.

“Untuk kelangsungan hidup, saya mengharapkan bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan kewangan setahun sekali daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP),” katanya.

Sebelum ini dia pernah membuat kerja-kerja pembersihan secara kontrak hampir lima tahun sewaktu berusia 30-an dan selepas itu beralih dengan bekerja kampung dan seterusnya menjadi seorang penggali kubur di kawasan kampungnya sejak 2006.

“Dua tahun lalu, saya tidak lagi dapat bekerja sebagai seorang penggali kubur berikutan keadaan kesihatan semakin merosot berkemungkinan disebabkan faktor umur selain terbabit dalam kemalangan itu.

“Urusan untuk membeli barang dapur, membayar bil utiliti dan menghantar saya melakukan rawatan susulan di hospital berdekatan semuanya diuruskan anak saudara dan jiran terdekat saya,” katanya.

Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan dan sumbangan barangan keperluan harian serta wang tunai daripada Naib Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Abdul Aziz Shaik Ahmad di rumahnya, semalam.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, program Ziarah Kasih itu membabitkan kunjungan kepada enam keluarga di kawasan Kampung Tanah Liat, Mukim 8 yang kebanyakannya terdiri daripada golongan kurang berkemampuan, sakit kronik, warga emas dan lain-lain lagi.

“Sejak awal Januari, banyak rumah atau keluarga sudah kami kunjungi dan menyampaikan sumbangan, sekali gus memberi keinsafan buat kita semua untuk sama-sama membantu meringankan beban ditanggung mereka dalam menjalani kehidupan seharian.

“Berbekalkan moto ‘kebajikan diutamakan’ amat bersesuaian dengan matlamat kunjungan ziarah ini yang menggunakan kaedah berjalan dari rumah ke rumah supaya kelihatan lebih mesra dan praktikal untuk mendekati dan mendengar permasalahan masyarakat,” katanya.-metro