IPOH: Bekas pengurus subsidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap tiga pertuduhan pecah amanah berjumlah RM80,909.60, empat tahun lalu.

Amirul Redzuan Sharudin, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, S Indra Nehru ketika tuduhan dibacakan terhadapnya.

Tertuduh yang ketika itu bekerja sebagai pengurus subsidi di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Siput Utara didakwa melakukan pecah amanah dengan tidak mengedar baja subsidi hak Kerajaan Malaysia kepada tiga pengusaha sawah padi sejak Februari hingga Disember 2014.

Bagi pertuduhan pertama, di antara bulan Februari sehingga Disember, tertuduh telah diamanahkan dengan baja subsidi hak Kerajaan Malaysia bagi musim 1/2014 dan 2/2014 iaitu bagi 820 beg baja sebatian, 320 beg baja urea dan 498 beg baja NPK berjumlah RM62,046 untuk diedarkan kepada pengusaha sawah padi, S Kunasekar tetapi tertuduh tidak mengedarnya.

Bagi pertuduhan kedua, di antara bulan Februari sehingga Disember, tertuduh telah diamanahkan dengan baja subsidi Kerajaan Malaysia bagi musim 2/2014 berjumlah 179 beg baja sebatian, 70 beg baja urea dan 109 beg baja NPK kepada pengusaha sawah padi, Muhamad Amin Muhammad Idris berjumlah RM13,567 tetapi tidak mengedarkannya.

Bagi pertuduhan ketiga, di antara bulan Februari sehingga Disember, tertuduh telah diamanahkan dengan baja subsidi hak Kerajaan Malaysia bagi musim 2/2014 berjumlah 69 beg baja sebatian, 27 beg baja urea dan 43 beg baja NPK hak Karajaan Malaysia yang berjumlah RM5,296 kepada pengusaha sawah padi, Mohd Pazal Zakaria tetapi gagal melakukannya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), K Kumuthambal, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Norlida Ishak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi semua pertuduhan namun tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan beliau kini tidak bekerja, perlu menanggung isteri yang juga tidak bekerja, anaknya berusia sembilan tahun, serta ibu dan bapanya yang uzur.

Indra Nehru membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 November depan untuk pengurusan kes – berita harian