JERTIH: Seorang lelaki yang juga bekas anggota polis ditahan selepas menyamar sebagai polis dan memeras ugut warga Bangladesh, dekat sini, Khamis lalu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika mangsa berusia 30 tahun berada di medan selera di Bandar Jertih.

Mangsa dihampiri suspek yang memperkenalkan diri sebagai polis dengan menunjukkan kad kuasa polis.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, suspek mengarahkan mangsa pergi ke belakang Bangunan Bazar Majlis Daerah Besut dan meminta beg duit mangsa sebelum mengambil RM50.

Beliau berkata, suspek turut mengambil sebuah telefon bimbit jenama Itel dan kad tambah nilai RM10.

“Mangsa yang bekerja sebagai buruh kerugian kira-kira RM200 dan membuat laporan di Balai Polis Jertih.

“Suspek berusia 40 tahun, yang positif dadah jenis methamphetamine ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan,” katanya.

Difahamkan, suspek adalah bekas anggota polis, namun ditamatkan perkhidmatan pada 2014 dipercayai kerana masalah dadah.

Suspek turut mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah, Seksyen 170 dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan – berita harian