LUMUT – Kerajaan negeri akan memastikan kawasan be­kas projek pembinaan jamba­tan yang menghubungkan Bagan Datuk dan Perak Tengah yang dibatalkan bulan lalu, di­tinggalkan dalam keadaan selamat.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, kerajaan negeri akan menyemak dan melakukan tinjauan di sekitar kawasan itu bagi memastikan tiada kesan pembinaan yang boleh menjejaskan keselamatan masyarakat.

“Kita akan menyemak dengan­ Jabatan Kerja Raya dan mendapatkan laporan untuk melihat ta­hap keselamatan selepas projek itu diberhentikan.

“Jika membahayakan, kita akan mengambil tindakan de­ngan meminta pihak berkenaan membuat penambahbaikan termasuk menandakan kawasan tersebut. Kita mahu menghilangkan kerisauan orang ramai yang melihat kawasan itu pada setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan di Pasar Karavan Manjung dan Pasar Tani Kekal Lekir di sini baru-baru ini.

Sementara itu, kerajaan ne­geri bertekad mengekalkan ke­me­nangannya sebagai pavilion negeri terbaik sempena Pa­meran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 yang akan berlangsung selama 11 hari bermula 22 November depan – utusan online