KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Pejabat kepada Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) di Kementerian Kewangan didakwa di Mahkamah Sesyen  Jalan Duta hari ini atas lima pertuduhan termasuk dua pertuduhan pilihan kesalahan meminta dan menerima rasuah dianggarkan RM3 juta.

Tertuduh Rohaya Sabot, 39, berbaju kurung tampil di mahkamah pukul 8.50 bersama peguamnya sebelum petuduhannya dibacakan pukul 9.25 pagi di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Rohaya yang masih berkhidmat sebagai penjawat awam di kementerian sama bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon kes dibicarakan.

Mengikut fakta kes, Rohaya didakwa melakukan kesalahan antara 25 November dan 26 Disember 2018.

Dalam pertuduhan pertama, Rohaya didakwa meminta suatu suapan daripada Wan Mohamad Wan Yusuf wang tunai berjumlah RM3 juta sebagai dorongan untuk dirinya sebagai pegawai badan awam dikementerian Kewangan membantu Wan Mohamad selaku wakil Syarikat Allied Vantage International Group Limited (AVL) dipilih dan ditawarkan sebagai pembeli bagi aset kerajaan iaitu bangunan kerajaan iaitu bangunan Malaysia beralamat di Gloucester Wanchai, Hong Kong di alamat PappaRich Ayer@8, Presint 8, Putrajaya pada 25 November lalu.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menerima suapan wang berjumlah RM50,000 daripada Wan Mohamad melalui akaun CIMB Bank untuk dorongan yang sama pada 14 Disember 2018.

Manakala dalam pertuduhan ketiga pula, Rohaya didakwa sebagai penjawat awam secara rasuah menerima suatu wang suapan RM3,000 daripada Wan Mohamad melalui deposit tunai kepada akaun Maybank Islamic Berhad untuk dorongan sama diberalamat Maybank Islamic Berhad Al-Idrus, cawangan Kuching beralamat di Wisma Satok Jalan Satok Sarawak pada 26 Disember 2018.

Beliau dituduh melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika disabtitkan kesalahan, Rohaya boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Rohaya turut dibacakan dua pertuduhan pilihan melibatkan penipuan iaitu pada pertuduhan pilihan kedua, dia didakwa menipu dengan curangnya mendorong penama Wan Mohamad Wan Yusof memindahkan wang sebanyak RM50,000 dari akaun CIMB bank ke dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya untuk dorongan sama iaitu mendapatkan bangunan kerajaan Malaysia di Hong Kong pada 14 Disember 2018.

Dalam pertuduhan pilihan ketiga pula Rohaya pada 26 Disember 2018, turut didakwa untuk dorongan sama menipu dan mendorong Wan Mohamad memasukkan wang berjumlah RM3,000 ke dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya.

Dia didakwa melakukan kedua dua kesalahan itu dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Rohaya dituduh melakukan kesalahan kedua hingga kelima beralamat di Maybank Islamik Berhad Al-Idrus, cawangan Kuching, beralamat di cawangan Wisma Satok, Tingkat 1, Wisma Satok, Daerah Kuching, Negeri Sarawak.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan juga denda.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zander Lim Yai Keong dan diwakili peguam bela Ravin J dari tetuan Haijan &Co.

Zander Lim mencadangkan mahkamah supaya tertuduh dibenarkan jaminan berjumlah RM20,000 dan menyerahkan dokumen perjalanan sehingga kes selesai.

Peguambela Ravin J menjelaskan bahawa anak guamnya merupakan penjawat awam yang berpendaoatan hanya RM5,500 dengan tanggungan pinjaman peribadi dan pinjaman perumahan yang perlu dijelaskan setiap bulan selain menjaga bapa yang uzur.

“Yang Arif jaminan dikenakan terhadap seseorang untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah sepanjang perbicaraan dan bukan apa yang ada dalam pertuduhan.

“Kita rayu satu jaminan wang berjumlah RM10,000 dibenarkan sebagai memudahkan tertuduh menjelaskan wang dan hadir ke perbicaraan,” katanya sebelum Pendakwaraya meminta amaun itu dikekalkan.

Hakim selepas mendengar hujah kedua dua pihak memutuskan supaya Rohaya diikat jamin dengan wang jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia dengan syarat tambahan pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah dan dikehendaki hadir ke cawangan SPRM terdekat minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Beliau kemudian menetapkan 29 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

– MalaysiaGazette