KANGAR : Bekas Setiausaha PKR negeri, Abdul Asymawi Syazwi Abdul Halim mengumumkan keluar parti berkuat-kuasa serta-merta semalam, selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR Perlis.

Menurut Abdul Asymawi, perkara itu telah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung PKR,

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Kerja PKR Perlis.

Malah kata bekas Naib Ketua Cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kangar itu, ramai lagi ahli akan mengikut jejak langkah beliau keluar daripada PKR selepas ini, apabila kecewa dengan sikap kepimpinan parti itu di Perlis termasuk wakil-wakil rakyat dari parti berkenaan.

“Kami merasa seolah-olah telah ditipu malah perjuangan pemimpin PKR di negeri ini juga sudah tidak sama lagi seperti dahulu kerana terlalu mementingkan kuasa,” katanya.

Kira-kira sebulan lalu, Abdul Asymawi telah melepaskan jawatan sebagai Setiausaha PKR negeri dan Naib Ketua AMK Cabang Kangar.

Abdul Asymawi sebelum ini antara pemimpin muda PKR di Perlis yang tegas memperjuangkan agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14.

Tambah Abdul Asymawi, selain itu, tiada kesungguhan atau strategi berkesan daripada kepimpinan parti untuk menawan Perlis dalam pilihan raya akan datang menjadi antara sebab beliau merasa kecewa.

Malah katanya, aduan daripada rakyat yang kecewa dengan PKR adalah lebih teruk daripada zaman UMNO dahulu.

“Semua itu harus diberi perhatian oleh PKR Perlis jika mahu bertahan lama di negeri ini,” katanya.

-Utusan