SUNGAI SIPUT: Parti Gerakan mencadangkan Ketua Wanita Kebangsaan parti itu, Datuk Tan Lian Hoe sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jalong di dalam Parlimen Sungai Siput, Perak untuk Pilihan Raya Umum ke – 14.

Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, nama bekas Timbalan Menteri Penerangan dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu telah dikemukakan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

5b5e0896-9525-43d8-9c59-430c7be06886Bagaimanapun, kata beliau, terpulang kepada kedua-dua pucuk pimpinan tertinggi parti itu untuk membuat keputusan muktamad.

“Walaupun kita kalah dahulu dengan majoriti agak besar, tetapi sebab kerja yang kita telah buat sejak lebih empat tahun lalu, kerja yang beliau (Tan Lian Hoe) telah buat dan kerjasama antara parti komponen, kali ini saya pasti kita ada peluang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baru Cina parti Gerakan peringkat negeri Perak di Arena Square Sungai Siput di sini, hari ini.

Hadir sama, Dr Zambry; Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk R. Thangeswari; Penasihat Gerakan, Tan Sri Chang Ko Youn; Pengerusi Gerakan Perak, Soo Kay Peng dan Pengerusi BN Sungai Siput, Datuk Zolkifli Harun.

Tan Lian Hoe adalah bekas Ahli Parlimen bagi kerusi Gerik dan Bukit Gantang, Perak.

Jalong merupakan kerusi tradisi calon Gerakan.

Sementara itu, Zolkifli yang ditemui turut yakin, bekas Timbalan Menteri itu mempunyai peluang cerah untuk memenangi kerusi Jalong, sekaligus membantu BN merampas semula kerusi Parlimen Sungai Siput.

“Berdasarkan rekod dan pengalaman serta kegigihan beliau bekerja sejak dahulu, saya penuh masyarakat Cina dan pengundi Melayu serta India akan memberi sokongan penuh kepada beliau,” katanya.

Zolkifli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lintang berkata, sejak kira-kira 10 tahun lalu, wakil rakyat pembangkang di DUN Jalong dan Parlimen Sungai Siput tidak membawa sebarang pembangunan di kawasan tersebut.