KULIM: Pembelaan kerajaan ke atas golongan wanita terutama ibu tunggal bukan bersifat retorik dan bermusim.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan sentiasa membela golongan ibu tunggal malah wanita secara keseluruhan sejak dulu lagi.

“Sejak merdeka, kita sentiasa mengiktiraf peranan wanita dalam politik, ekonomi malah memberi mereka peranan penting dalam pentadbiran negara.

“Malah, soal kebajikan, pendidikan dan pembanguan ekonomi golongan ini sentiasa dititikeratkan dengan adanya pelbagai program yang diatur oleh kerajaan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Program Umno Bantu Rakyat 2.0 yang dianjurkan oleh Biro Kebajikan Umno Malaysia di sini malam tadi.

Di majlis tersebut, seramai 500 orang terdiri daripada ibu tunggal di sekitar Parlimen Padang Serai menerima bantuan berupa barang keperluan harian.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pembangunan Luar Bandar Padang Serai, Datuk Asmadi Abu Talib dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Padang Serai, Datuk Marliah Abdul Latiff.

— BERNAMA