PELABUHAN KLANG: Tiada perasaan yang dapat menggambarkan terujanya wartawan selain bangga melihat Muhammad Adam Danish Zulkifli bersama rakan Melayu lain berbual dalam bahasa Mandarin dengan penduduk Pulau Ketam, di sini, yang berbangsa Tionghua.

Bukan itu saja, Muhammad Adam Danish yang berusia 13 tahun dan lebih mesra dipanggil Adam turut tenang mengalunkan surah An Naba dari ayat 1 hingga 10 apabila diminta wartawan untuk berbuat demikian.

download (9)Adam dan rakannya itu adalah antara produk terawal Akademi Tahfiz Mandarin (ATM) yang diwujudkan di Pulau Ketam sejak Januari tahun lalu.

Uniknya ATM ialah lokasi institusi pengajian al-Quran itu terletak di tengah-tengah tempat tinggal masyarakat bukan Islam apabila dikelilingi kira-kira 8,000 kaum Tionghua di pulau berkenaan berbanding sekolah tahfiz biasanya terletak dalam kawasan komuniti Islam.

“Nama saya Muhammad Adam Danish Zulkifli. Umur saya 13 tahun. Saya berasal dari Sungai Buloh, Selangor.
“Nama ayah saya Zulkifli Muis. Nama ibu saya Zuraidah Abdullah. Saya sudah belajar di Akademi Tahfiz Mandarin selama dua bulan.

“Saya suka al-Quran dan belajar bahasa Mandarin. Saya bercita-cita menjadi doktor dan pendakwah,” itu antara jawapan spontan Adam dalam bahasa Mandarin kepada wartawan yang dirakamkan juruvideo akhbar ini.

Adam yang juga anak bongsu daripada tiga beradik berkata, walaupun gigih menghafaz al-Quran dan bahasa Mandarin seperti yang diinginkan ibu bapanya namun dalam masa sama dia tidak melupakan cita-citanya untuk menjadi doktor.

Sementara itu, rakannya, Annas Ann Safri, 13, berkata, belajar tulisan Cina adalah antara kesukaran dialaminya ketika belajar di ATM.

“Belajar berkomunikasi dalam bahasa Mandarin menyeronokkan. Begitu juga ketika menghafaz al-Quran. Tetapi hendak menguasai tulisan Cina saya rasakan sangat sukar.

“Apa pun saya akan lakukan yang terbaik untuk menguasai antara dua bahasa utama di dunia itu,” katanya yang berasal dari Temerloh, Pahang.
Menurutnya, kaedah dipelajari untuk menghafaz sama ada al-Quran atau bahasa Mandarin ialah sekurang-kurangnya 20 kali mengulang sesuatu ayat sehingga menguasainya.

Katanya, kelebihan berada di Pulau Ketam ialah pelajar dapat mempraktikkan bahasa Mandarin dengan bersembang bersama penduduk tempatan yang majoritinya kaum Tionghua.

Sementara itu, penduduk tempatan yang juga mualaf, Ishak Ho, 72, yang ditemui sedang berbual mesra dengan pelajar ATM dalam bahasa Mandarin berkata, kehadiran pelajar tahfiz terbabit bagaikan memberikan ketenangan kepada penduduk setempat.

Beliau yang bertugas sebagai Tok Siak sukarela di Balai Islam Pulau Ketam yang dijadikan surau itu berkata, sejak kehadiran pelajar tahfiz berkenaan, surau terbabit sentiasa diimarahkan.

“Seronok sebab pelajar tahfiz ini baik-baik belaka dan muka mereka juga nampak tenang. Surau ini sudah lama kurang diimarahkan dengan solat jemaah.

“Namun kini setiap hari surau penuh setiap kali solat fardu, malah juga solat Jumaat,” katanya yang memeluk Islam pada 1986 – berita harian