KUALA TERENGGANU: Media sosial menjadi antara saluran utama yang disalahgunakan sesetengah individu untuk mempelajari cara membuat dadah berdasarkan hasil serbuan yang dilakukan terhadap beberapa makmal dadah di seluruh negara sebelum ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, hasil serbuan dan soal siasat yang dijalankan terhadap suspek mendapati mereka yang ditahan bukan ahli kimia atau cerdik pandai mengenai penghasilan dadah, sebaliknya mereka belajar menerusi laman web.

Menurutnya, penjualan pelbagai bahan kimia secara haram melalui farmasi juga mendorong pihak tertentu mewujudkan makmal untuk menghasilkan dadah sendiri dan hasilnya dapat dilihat melalui serbuan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini.

“Dalam beberapa siri serbuan, kita mendapati makmal berkenaan tidak sebesar mana, namun ia jelas menunjukkan keupayaan suspek menghasilkan dadah melalui ilmu yang diperoleh melalui media sosial.

“Polis sentiasa memandang berat masalah ini selain memberi fokus kepada taktik licik penyeludupan dadah ke negara ini yang dilakukan dengan pelbagai helah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengawas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah di sini, semalam.