KUALA LUMPUR: Keputusan memilih negara Belanda sebagai lokasi perbicaraan mana-mana suspek yang ditahan berkaitan insiden pesawat MH17 yang ditembak jatuh tiga tahun lepas merupakan satu tindakan tepat, menurut pakar penerbangan tempatan.

Mereka menyifatkan, pemilihan Belanda bukan sahaja kerana kebanyakan mangsa pesawat malang itu dari negara tersebut malah kerana kredibiliti Amsterdam yang mempunyai mahkamah antarabangsa di The Hague melayakkan mereka mengetuai perbicaraan itu.

Bekas pegawai penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata, Belanda sememangnya layak kerana negara itu sendiri mengetuai pasukan penyiasat bersama (JIT) berhubung insiden itu selain Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine.

Mengulas lanjut, Abdul Rahmat berkata, sebelum memulakan sebarang perbicaraan, JIT perlu terlebih dahulu menamakan suspek kejadian.

“Suspek hanya boleh dinamakan sekiranya kedua-dua pihak bertelagah (Ukraine dan Rusia) memberi kerjasama penuh dalam siasatan, dan siasatan dijalankan secara adil, tidak berpihak kepada mana-mana negara bertelagah.

“Begitu juga dengan hukuman. Sama ada ia akan diiktiraf pihak yang didapati bersalah adalah menjadi tanda soal yang amat besar.

Banyak kes yang hukumannya dijatuhkan secara tanpa kehadiran pihak tergugat sehingga kini tidak dapat dilaksanakan.

“Oleh itu, JIT perlu menamakan suspek setelah mempunyai bukti yang amat kukuh dan tidak lut persoalan,” katanya kepada Bernama.

Rabu lepas, dilaporkan negara-negara dalam JIT bersetuju bahawa sebarang perbicaraan akan diadakan di bawah sistem undang-undang Belanda yang mana suspek perlu didakwa di Belanda berteraskan kerjasama dan sokongan antarabangsa.

-mStar