Oleh: Nazialita Geynna Maharan

MANJUNG: Belanjawan Alternatif 2018 yang dibentangkan oleh Pakatan Harapan dilihat sebagai sebuah perancangan retorik semata-mata.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pada masa yang sama, pembangkang akan mengambil kesempatan untuk “memancing” perkara-perkara yang mereka tahu akan menimbulkan masalah fiskal yang besar.

“Dalam erti kata lain, mereka tahu bahawa terdapat hakikat sebenar mengenai usaha kerajaan yang telah lama memperjuangkan nasib rakyat, yang selama ini mereka kritik.

“Dalam masa sama, dia memancing hal yang boleh dia pancing, hal-hal yang sebelum ini kononnya ada alternatif yang baik. Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dia kata selama ini membankrapkan, tidak produktif kepada ekonomi.

“Akhirnya dia mengakui, cuma dari segi apa yang dia rancang dan pendekatan dia melaksanakan BR1M itu lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dataran Amanjaya Lekir di sini, hari ini.

Jelas Dr Zambry, pembangkang juga menjanjikan beberapa jenis alternatif seperti pengurangan bajet pengurusan yang diterjemahkan daripada perlaksanaan di negeri masing-masing.

Beliau berkata, adalah tidak rasional bagi pihak pembangkang untuk sekadar mengatakan mereka akan mengendalikan defisit bajet sebanyak RM20 juta termasuk menghapuskan sistem tol.

“Mereka nak tukar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada SST semula dan dia tahu ini akan membawa kesan fiskal kepada Negara,” katanya.

Beliau menegaskan, pihak pembangkang dilihat masih menggunakan retorik lama dengan misi menangkap Malaysia Official One (MO1) dan membebaskan beberapa institusi negara.

Tegasnya, beliau cukup yakin bahawa bajet yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, esok, akan bersifat cukup prihatin.

“Saya yakin bajet itu dirangka berdasarkan perkara yang dipersoalkan rakyat dan realiti ekonomi dunia hari ini. Kita sentiasa membuat unjuran kepada realiti, sesuatu yang boleh kita laksanakan.

“Sekarang, pembangkang boleh sebut apa sahaja dia hendak kerana apa yang penting bagi dia ialah dia mahu rakyat percaya dahulu,” ujarnya lagi.