KUALA LUMPUR : Belanjawan 2020 bukan “peluru sakti” untuk mengatasi masalah ekonomi, kata seorang wakil rakyat PKR hari ini.

Wong Chen (PH-Subang) berkata menganggap jumlah yang diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan, yang hanya 0.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dapat menyelesaikan semua masalah ekonomi adalah satu “falasi”.

“Bolehkah 0.4 peratus atau RM54 bilion mempunyai impak untuk mengembangkan ekonomi? Inilah persoalan asasnya. Kalau tidak, janganlah kita berpura-pura belanjawan ini ‘silver bullet’ untuk mengatasi semua masalah ekonomi kita hari ini,” katanya semasa perbahasan di Dewan Rakyat.

Wong berkata apa yang paling utama adalah iltizam politik “untuk mereformasikan sistem kerajaan yang sudah rosak”.

Beliau berkata ahli-ahli politik perlu beri komitmen penuh untuk menentang rasuah, nepotisme, tender terunding, pengubahan perintah, dan konsesi berat sebelah.

“Rasuah adalah sejenis keadaan manusia,” katanya.

“Mana ahli Parlimen yang tak sayang anak? Mana yang tak nak beri anak satu peluang luar biasa? Kita tahu ini salah, kita tahu ini salah guna kuasa, tapi masih dilakukan.”

Wong berkata untuk membendung keadaan manusia yang teruk ini, mereka perlu memastikan wakil-wakil rakyat dan ahli politik diberi sumber yang cukup.

Beliau mencadangkan peningkatan peruntukan peruntukan pejabat ahli Parlimen ke RM800,000 dan layanan sama rata kepada wakil-wakil rakyat pemerintah dan pembangkang.

Bagi pembiayaan parti politik pula, beliau mencadangkan bayaran RM10 bagi setiap satu undi yang diterima parti tersebut.

Wong mengajak mereka yang tidak berpuas hati minum kopi dengannya, dan bukannya mengadu kepada Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson), yang juga presiden PKR.

“Anwar akan minta saya bercakap benar,” katanya.