IPOH: Belanjawan untuk kebajikan di negeri Perak akan meningkat tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kebajikan Masyarakat negeri, Wong May Ing berkata, peruntukan itu diletakkan di beberapa agensi yang berkaitan.

Di samping itu, kata beliau, terdapat program baru yang akan dilaksanakan tahun hadapan iaitu kad makanan dan kad kesihatan.

“Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan mengumumkan secara terperinci dalam pembentangan Belanjawan 2019 pada Sidang Dewan Undangan Negeri minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang bersama Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan (PSK) Perak di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Perak, Puan S Kavarama dan Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Negeri (JKM) Perak, Zakaria Taib.

May Ing memberitahu, pihaknya akan melaksanakan pelbagai program kesedaran tahun hadapan seperti untuk orang kurang upaya dan kempen sahabat bijak untuk kanak-kanak.

Menurutnya, kempen sahabat bijak antara lain bertujuan mengurangkan penderaan kanak-kanak, termasuk gangguan seksual yang dilaporkan kira-kira 300 kes tahun lalu.

Pada majlis itu, 43 PSK yang berdaftar dengan JKM menerima geran berjumlah RM735,000.

May Ing di dalam ucapannya menggalakkan lebih banyak PSK berdaftar dengan JKM bagi memudahkan penyaluran bantuan dan pemantauan.

“Walaupun bantuan tidaklah banyak tetapi ia serba sedikitp dapat membantu meringankan beban kewangan persatuan dan JKM akan bantu untuk mendapatkan bantuan dari pihak lain,” ujarnya.