Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TAIPING:Tindakan tidak bertanggungjawab dua pelesit rempit mencederakan pemandu ambulans Ahad lalu berbalas apabila kedua-dua mereka dijatuhkan hukuman penjara satu bulan penjara dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada pagi Jumaat.

Majistret Mohd. Hairol Jemain membuat keputusan tersebut selepas kedua-dua tertuduh, Muhamad Norafrani Azmi, 20, dan Abdul Aziz Md. Desa, 24, mengaku bersalah setelah pertuduhan terhadap mereka dibacakan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mencederakan pemandu ambulans, Shariff Ismail, 53, di Jalan Simpang Empat Semanggol di sini sekitar pukul 1.40 pagi 17 Disember lepas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan bermula semalam dan denda RM1,000 terhadap setiap tertuduh. Jika gagal membayar, tertuduh boleh dikenakan penjara tambahan selama tiga bulan.

Kedua-dua tertuduh membayar denda tersebut.

Muhamad Norafrani turut didakwa menghalang penjawat awam sama melakukan tugasan di lokasi dan masa yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan ini, Mohd. Hairol menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan denda RM3,000. Sekiranya gagal membayar, dia akan dikenakan hukuman penjara tambahan selama enam bulan. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh yang berusia 17 tahun turut mengaku bersalah atas tuduhan menghalan penjawat awam namun mahkamah menangguhkan keputusan terhadapnya sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mahkamah menetapkan tarikh 24 Januari depan untuk keputusan kes dan membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Rosmaria Awang manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sebelum ini, Astro Awani pada 19 Disember melaporkan seorang pemandu ambulans cedera dibelasah dalam kejadian berdekatan Plaza Tol Taiping Utara, Lebuh Raya Utara Selatan di sini hanya kerana meminta laluan daripada sekumpulan pelesit rempit yang sedang berlumba haram dengan menggunakan pembesar suara.

Kejadian tersebut menyebabkan mangsa terpaksa menerima empat jahitan pada kelopak mata selain seorang jururawat turut ditendang oleh samseng jalan raya itu.