Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Pemergian Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah pada petang Selasa dirasai oleh segenap lapisan rakyat khususnya mereka yang bersama-sama baginda di dalam Persatuan Pandu Puteri.

Baginda disifatkan sebagai seorang insan yang baik oleh rakan sepersatuan dan kenalannya.
Bagi mereka, Almarhumah Raja Nor Mahani adalah seorang yang tegas dalam melaksanakan tugas dan berprinsip tinggi namun mempunyai pekerti yang unggul dalam kehidupan seharian.

Diputerikan pada 18 Oktober 1942, Almarhumah cukup disenangi oleh semua pihak malah statusnya sebagai kerabat diraja tidak pernah menjadi penghalang untuknya beramah mesra serta mendekati rakyat jelata.

dc2898e2-f6b3-4995-aa63-d593dcdf4ac1Bagi Timbalan Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Puan Sri Toh Puan Zainun Zainuddin, kemangkatan baginda merupakan satu kehilangan cukup besar kepada persatuan itu yang merupakan sebahagian daripada perjuangan Almarhumah ketika hayatnya.

Beliau yang merangkap Yang Dipertua Pandu Puteri Perak berkata, pemergian Raja Puan Besar diibaratkan sebagai gugurnya sebutir permata di dalam Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

“Dia begitu dekat dalam persatuan dan juga bersama saya secara peribadi, sejak saya menjadi Timbalan Yang Dipertuan PPPM sejak tahun 2010 hingga tahun 2017.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan Almarhumah adalah pada 1 Oktober lepas di Seri Perdana ketika kami meraikan minum petang bersama ahli-ahli Pandu Puteri yang lain,” katanya kepada Suara Perak.

Zainun berkata, beliau juga bersama-sama dengan baginda pada 18 hingga 22 September lepas sewaktu Almarhumah mengetuai delegasi ke Ulang Tahun Persidangan Pandu Puteri ke-100 di New Delhi, India.

Hadiah Ulang Tahun Paling Sedih

Penyertaan Almarhumah yang begitu aktif dalam Pandu Puteri baik di peringkat negeri dan kebangsaan serta program kebajikan turut menyentuh hati pengacara majlis terkenal, KT Pillai.

Pillai, yang menyambut ulang tahunnya pada 4 Oktober, menyifatkan kemangkatan baginda sebagai sesuatu yang mendukacitakan apatah lagi beliau rapat dengan Almarhumah sebelum ini.

413b4a89-0803-41d0-9839-68ea56582bb9Ketika ditemui, Pillai, 55, dilihat begitu sebak dan tidak dapat menahan kesedihan sambil menceritakan pengalamannya berkerjasama dengan Almarhumah.

“Pantang ada sahaja program oleh baginda, saya akan dipanggil untuk mengelola dan mengacara majlis dan saya sendiri telah bekerja bersama-sama baginda lebih daripada 12 tahun.

“Kami sering bertukar-tukar pesanan ringkas Whatsapp mengenai isu semasa, berbual sebagai rakan dan kehilangannya begitu cepat, begitu dirasai oleh saya sendiri,” katanya ketika ditemui Suara Perak di Istiadat Penghormatan Terakhir di Istana Al-Ridhuan di sini, hari ini.

Tarian Terakhir Bersama Almarhumah

Ketua Pesuruhjaya Pandu Puteri Perak, Foong Poh Lin, 60, pula berkata, beliau menerima perkhabaran mengenai kemangkatan wanita unggul itu pada pukul 5.40 petang semalam apabila dihubungi oleh pihak istana.

Beliau yang bertugas mulai 2008 hingga 2017 berkata, pada mulanya beliau tidak dapat menerima berita itu kerana pada ingatan beliau, Almarhumah sempat bergurau dengannya dan ahli Pandu Puteri lain pada 1 Oktober lepas di Seri Perdana.

“Baginda gemar mengajar kami pelbagai pengetahuan baru dan sentiasa mengambil tahu hal ehwal semasa negara ini. Kami mempelajari pelbagai kemahiran daripada baginda dan menerima nasihat-nasihat beliau.

53306a5f-0c4c-4415-97ef-7edb2a7dccbc“Tiga hari lepas, baginda masih mampu bergurau dan berjenaka dengan kami semua, siapa sangka ajalnya sudah begitu dekat,” katanya lagi.

Poh Lin yang berasal dari Kuala Kangsar berkata, tiada istilah perbezaan kaum atau latar belakang di hati Almarhumah dan baginda memberi layanan serta menghulur persabahatan kepada semua.

“Dia tegas, berani dan berfikiran jauh malah menjadi inspirasi kami semua kerana di usia 75 tahun, masih banyak yang menjadi wawasan dan motivasi dalam dirinya yang dikongsikan bersama kami.

“Sebagai seorang yang mengenali baginda secara peribadi dan bekerja bersama baginda, ini kehilangan besar buat kami di Pandu Puteri Perak,” katanya lagi.

Sahabat dan Pereka Imej

Bagi Speaker Dewan Negeri Perak, S Thangeswary, beliau amat mengagumi keperibadian serta prinsip hidup Almarhumah yang begitu terperinci dan tegas dalam setiap perihal yang disertainya.

“Saya masih ingat, baginda paling suka jika saya berbaju kurung dan baginda tak lokek pujian bahkan selalu mengusik saya, kejujuran baginda memang tak boleh disangkal lagi.

“Sebagai seorang bekas ahli Pandu Puteri, saya percaya pemergian baginda ini tiada gantinya dan pasti meninggalkan kesan cukup mendalam buat kami semua,” katanya ketika ditemui Suara Perak.