MANJUNG: Masyarakat seluruh negeri Perak disarankan agar mengambil peluang mengurangkan perbelanjaan harian dengan membeli barangan keperluan asas di dalam program Jimat Belanja Dapur (JBD) yang dikendalikan FAMA.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak, Basri Jasmo berkata JBD merupakan satu usaha kerajaan untuk menangani peningkatan kos sara hidup di Malaysia dengan berkesan dan menyeluruh.
Jelasnya, kelebihan dan keistimewaan program JBD adalah ianya menumpukan kepada jualan hasil pertanian dan barangan keperluan asas terutamanya barangan kawalan pada harga yang menjimatkan.

“Saya sedar, sebenarnya ramai lagi tidak mengetahui mengenai program JBD ini, di mana ianya berperanan sebagai saluran pasaran pilihan untuk menyedia dan menawarkan harga 27 komoditi barangan terpilih pada harga yang menjimatkan antara 5% hingga 20% daripada harga pasaran.

9ed669fd-c12a-4523-8b59-81efa880f924“Bayangkan, pelbagai barangan kawalan seperti tepung, gula dan minyak masak akan ditawarkan penjimatan lebih rendah berbanding harga pasaran runcit.

“Malah, program JBD ini dilaksanakan menerusi pembekalan daripada Stok Simpanan Bekalan Makanan (SSBM) dan Ladang Kontrak secara terus ke Pasar Tani, ABR1M dan AKR, justeru jangan lepaskan peluang dan saya harap semua mendapat manfaat setiap kali ianya diadakan,”katanya ketika ditemui menghadiri Kursus Pengendalian Lepas Tuai dan Grading,Packaging dan labelling (GPL) di Kampung Ulu Chepor baru-baru ini.

Jelasnya lagi, JBD turut berperanan dalam menggiatkan dan memperkasakan ekonomi pengusaha tempatan di seluruh negeri khususnya daripada Usahawan Pasar Tani, Pusat Operasi FAMA dan Ladang Kontrak.

Basri berkata, pihaknya juga akan memastikan kualiti perniagaan Usahawan Pasar Tani berada di tahap terbaik dengan pameran tanda harga JBD di setiap komoditi yang diniagakan selain memperkemas jadual hari beroperasi berdasarkan kesesuaian.

“Secara keseluruhannya, saya yakin bahawa JDB secara keseluruhannya akan memberi satu peluang malah pilihan kepada para pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan harian di 706 outlet jualan Pasar Tani, 110 AgroBazaar Rakyat 1 Malaysia (ABR1M) dan 426 AgroBazaar Kedai Rakyat (AKR) di seluruh negara dan bagi Negeri Perak 9 Agrobazzar Rakyat 1 Malaysia (ABR1M) 49 Agrobazaar Kedai Rakyat 25 Pasar Tani,”ujarnya lagi.

Jelasnya, seramai 10,000 pengunjung mengambil peluang untuk membeli barang keperluan asas di 90 buah gerai yang mengadakan jualan di JBD Manjung baru-baru ini.