KAJANG: Tawar kalungan bunga dengan harga antara RM70 hingga RM100 untuk layanan istimewa penyanyi dan penari yang membuat persembahan di atas pentas.

Itu taktik sebuah restoran yang menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO) warga asing kepada pengunjung yang bertandang ke premis berkenaan di Jalan Koop Cuepacs 3F Cheras, di sini.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas serbuan dilakukan 143 pegawai dan anggota daripada Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dalam Operasi Cegah Jenayah Bersepadu Khas di restoran berkenaan kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Timbalan Ketua JPJKK Selangor (Perancangan/Strategik) Asisten Komisioner Rahmat Othman berkata, pihak polis mendapat maklumat daripada orang awam yang memaklumkan restoran berkenaan melakukan kegiatan haram.

“Ketika serbuan dilakukan, terdapat kira-kira 20 pelanggan sedang leka menonton persembahan tarian dan nyanyian beberapa wanita warga asing pada pentas utama di dalam restoran berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menahan 12 wanita warga China dan enam wanita warga Vietnam berusia lingkungan 20 hingga 30-an yang bekerja sebagai GRO di restoran terbabit,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, awal pagi tadi.

Rahmat berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua wanita GRO berkenaan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Kami turut menahan kira-kira 20 pelanggan restoran berkenaan untuk pemeriksaan lanjut. Restoran itu dipercayai aktif melakukan kegiatan berkenaan sejak lima bulan lalu.

“Walaupun kerap diserbu, namun pemilik restoran terbabit masih berdegil melakukan kegiatan haram berkenaan demi untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan terutama lelaki ‘hidung belang’ dengan menawarkan khidmat GRO bagi menghiburkan mereka,” katanya yang mengetuai beberapa serbuan di sekitar daerah ini yang turut disertai Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff.

Beliau berkata, dalam operasi bermula jam 10 malam semalam hingga 6 pagi tadi, lebih 20 lokasi membabitkan premis judi, pusat hiburan serta kawasan ‘panas’ yang mempunyai rekod jenayah tinggi diserbu selain melakukan sekatan jalan raya di beberapa laluan lebuh raya di sekitar daerah ini.

“Hasil serbuan itu, seramai 156 individu diperiksa. Daripada jumlah itu, 30 individu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk didapati positif dadah.

“Selain itu, sebanyak 111 kenderaan turut diperiksa dalam sekatan jalan raya dilakukan di sekitar daerah ini dengan 34 saman atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan.

“Kami turut merampas bungkusan dadah jenis syabu dan beberapa peralatan audio, modem perkhidmatan jalur lebar (WiFi) serta kalungan bunga di restoran berkenaan,” katanya – berita harian