MIRI: Sekadar suka-suka, itu alasan seorang lelaki dan dua remaja yang ditahan Ahli Jawatankuasa Penduduk (JKP) Pujut ketika leka menghisap ganja di belakang sebuah dewan di Permyjaya di sini, malam kelmarin.

Lelaki berusia 20 dan dua remaja masing-masing berusia 17 tahun itu ditahan pada jam 10.15 malam bersama perkakas menghisap dadah berkenaan.

Jurucakap JKP Miri, Malateh Mahmud berkata, kejadian disedari ketika ahli JKP sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan sebelum melihat kelibat kumpulan lelaki terbabit.

Melihat keadaan mereka yang mencurigakan, ahli JKP kemudiannya membuat pemeriksaan.

“Semua mereka dalam keadaan gelabah ketika melihat kehadiran ahli JKP. Hasil pemeriksaan menemui bekas menghisap ganja berisi ganja di dalamnya berhampiran mereka,” katanya.

Katanya, satu plastik kecil berisi sejumlah kecil ganja dipercayai baru dibeli turut ditemui.

“Selepas didesak, mereka mengakui menghisap dadah berkenaan hanya kerana suka-suka.

“Malah mereka turut mengakui membeli ganja berkenaan dengan harga RM30 sahaja,” katanya.

Katanya, berikutan usia mereka masih muda, pihaknya menyerahkan kumpulan terbabit kepada keluarga mereka untuk tindakan sepatutnya.

“Pihak kami turut memberikan nasihat agar mereka berhenti dari mengambil ‘barang’ berkenaan bagi mengelak berdepan tindakan lebih serius mengikut undang-undang,” katanya – berita harian