TAIPING: Seorang wanita sempat membeli sebuah kerusi plastik untuk memanjat tembok sebelum terjun dari tingkat enam sebuah pusat membeli belah di sini, malam ini.

Wanita berusia 54 tahun itu dipercayai mempunyai masalah mental dan pernah menerima rawatan sebagai pesakit mental.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 malam di Taiping Mall.

“Sebelum kejadian, mangsa telah beli satu kerusi plastik di Pasaraya Pacific, Taiping Mall untuk dijadikan alas untuk panjat tembok parkir sebelum terjun ke bawah di bahagian hadapan bangunan Taiping Mall,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Buat masa ini, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.