PENIPUAN menerusi platform e-dagang sering kali berlaku dalam kalangan pembeli sejak akhir-akhir ini.

Terbaharu, seorang guru berkongsi pengalamannya di laman Facebooknya, selepas percaya dirinya ditipu oleh salah seorang peniaga di platform jual beli popular itu.

Menurut Mohd Azlan Johan, 47, beliau berhasrat membeli mikrofon tanpa wayar itu untuk kegunaan sekolah tempatnya mengajar tetapi akhirnya menerima sebuah kotak berisi seutas tasbih.

Guru subjek Perniagaan di SMK Kubu Gajah, Perak ini berkata beliau berasa terkejut apabila barang yang sampai ke tangannya sama sekali berbeza dengan barang yang dibelinya.

“Saya terkejut apabila menerima tasbih, bukannya mikrofon yang saya nak. Dalam masa yang sama, nak tergelak pun ada juga.

“Saya beli mikrofon itu untuk berikan pada pihak sekolah sebagai ganti mikrofon lama yang dah rosak. Kebetulan ada promosi murah, harganya RM 56 sahaja jadi saya pun belilah dua set,” katanya kepada mStar Online, Isnin.

Mohd Azlan menunjukkan tasbih yang diterimanya pagi Isnin.

Mengulas lanjut tentang perkara tersebut, Mohd Azlan berkata beliau membuat pesanan mikrofon itu dua minggu lalu.

Setakat ini saya dah beli 22 barang dan ini kali pertama perkara sebegini terjadi pada saya.
MOHD AZLAN

“Mikrofon itu dibeli seminggu sebelum cuti sekolah bermula dan sampai di sekolah pada minggu cuti sekolah.

“Selepas saya masuk kerja hari ini, tiba-tiba saya buka bungkusan lihat seutas tasbih dan bukannya mikrofon,” ujar guru yang berasal dari Selama, Perak ini.

Posting yang dibuat oleh Mohd Azlan menerusi laman Facebook miliknya.

Dalam pada itu, Mohd Azlan juga memberitahu dia sering membeli barangan di platform e-dagang tersebut sejak Julai 2014 namun kejadian seperti ini pertama kali berlaku pada dirinya.

“Setakat ini saya dah beli 22 barang dan ini kali pertama perkara sebegini terjadi pada saya.

“Lepas ini, saya akan beli mikrofon dekat e-dagang yang lain pula,” katanya.

Sebagai langkah susulan, Mohd Azlan berkata beliau akan menghubungi pihak e-dagang berkenaan pada petang ini untuk memulangkan barang yang diterima dan mendapatkan semula duitnya.

Contoh mikrofon tanpa wayar yang dibeli oleh Mohd Azlan di sebuah platform e-dagang . -foto Amazon.com

Sementara itu, beberapa pengguna laman Facebook turut memberi komen terhadap posting yang telah dimuat naik oleh Mohd Azlan baru-baru ini.

“Dia tolong ingatkan kata masuk lima series kerap-kerap lah guna tasbih,” tulis Zaba Kuching.

“Allahu, insaf terus kalau dapat ini,” komen Soleh Sunar – Mstar