IPOH: Walaupun sesi persekolahan 2017 akan bermula lebih dua minggu lagi, namun ibu bapa telah mula memenuhi kedai-kedai sekitar Ipoh bagi membeli pakaian seragam serta barangan persekolahan anak-anak mereka lebih awal.

Mereka tidak mahu membeli di saat-saat akhir kerana khuatir harga menjadi lebih mahal disebabkan harga baharu ataupun dinaikkan secara tidak bertanggunjawab oleh peniaga yang mahu mengambil kesempatan.

Menurut Nur Haslina Che Yop, 32, walaupun harga peralatan persekolahan terdapat peningkatan, namun ia dijangka akan dinaikkan sedikit lagi oleh pemilik kedai pada saat-saat akhir.

“Tahun ini harga peralatan persekolahan seperti baju seragam dan sebagainya memang ada sedikit peningkatan berbanding tahun lalu, tapi ianya masih berpatutan dan boleh diterima.

“Kita risau pemilik-pemilik kedai selalunya menaikkan harga saat-saat akhir, seperti tahun-tahun sebelum ini, jadi baik kita beli awal,” katanya ketika ditemui oleh Suara Perak di Ipoh pada Ahad.

Bagi Wong Sook Ling, 36, pula, dia memilih untuk membeli barangan persekolahan lebih awal bagi mengelakkan diambil kesempatan oleh pemilik kedai kerana kekurangan stok.

“Pergi awal, pilihan pun banyak, jadi senang kita cari yang berkualiti serta yang ada promosi. Kedai-kedai juga semuanya bersaing memberi harga murah.

“Kalau saat akhir beli mereka (pemilik kedai) pandai tahu stok dah terhad dan masa pun dah tak ada, jadi mereka ambil kesempatan naikkan harga.

“Tahun lalu saya dah kena, beli saat akhir harganya semua dinaikkan dan kualiti pula amat teruk tapi nak buat macam mana tiada pilihan,” ujarnya.