KAMUNTING: Belia jangan bersikap manja, buka minda dan belajar daripada kesusahan.

Itulah nasihat Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengenai sikap golongan belia, khususnya lepasan sekolah di sekitar Kamunting dan Taiping kebelakangan ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri bersama dengan Jawatankuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) serta beberapa agensi lain telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan kadar pengangguran di kalangan belia berkurangan.

Malangnya, kata beliau, usaha itu seolah-olah dipandang remeh oleh segelintir belia.

“Sebagai contoh, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diberikan latihan vokasional dan kemahiran selama enam bulan dengan elaun bulanan, hanya perlu datang ke kelas harian dan selepas itu diserapkan ke dalam sektor perindustrian di sekitar Kamunting dan Taiping.

 

pengakap-permukiman-2pengakap-permukiman-3

“Tetapi apa yang mengecewakan, ada di antara mereka yang kerja tak sampai sebulan mulalah datang mengadu nak kerja kerajaan, penat, ingin bersenang-lenang atau rileks, sedangkan gaji permulaan mereka dalam purata RM1,400 sebulan,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui semasa Majlis Pelepasan Kontinjen Pengakap Larut, Matang, Selama ke Jambori Pengakap Malaysia ke 13 dan Jambori Antarabangsa Kuala Lumpur di Perkarangan Dewan Arif Budiman pada pagi Jumaat.
ADUN Kamunting itu berkata, kerajaan negeri juga sentiasa memastikan bahawa mutu latihan kemahiran kepada lepasan sekolah sebelum memasuki alam pekerjaan mencapai kualiti optimum melalui modul-modul terpilih.

Selain latihan daripada ADTEC, semua lepasan sekolah itu juga diberikan set uniform dan elaun bulanan sehingga tahap Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 bagi membolehkan mereka mudah bersaing di pasaran kerja.

“Mereka juga hanya bekerja selama 4 hari dalam masa seminggu, dan boleh menjana pendapatan sehingga RM3,000 sekiranya rajin mempelajari kemahiran dan bersikap terbuka dengan keadaan syarikat yang diserapkan.

“Mentaliti belia ini perlu diubah dengan segera, jangan hanya mengganggap kesemua pertolongan yang diberikan kepada mereka sebagai sia-sia, kalau perkara ini berlarutan, maka kita akan kehilangan sumber tenaga kerja tempatan, khususnya dalam sektor perindustrian,” ujarnya lagi.