KUALA KANGSAR – Terkenal sebagai bandar diraja yang kaya dengan hasil kraftangan, Kuala Kangsar merupakan bandar sejarah yang memiliki peluang menjana ekonomi yang luas buat golongan remaja.

Industri kecil dan sederhana di sini yang berkisar sekitar hasil kraf seperti labu sayong, seramik, tekatan, pandai besi dan lain-lain menjadikan ia sebuah bandar dan unik.

Namun, pertanian telah mula mendapat tempat di kalangan belia di kawasan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Datuk Mohamad Kamil Shafie berkata belia di Kuala Kangsar memilih untuk melibatkan diri dengan industri asas tani.

“Saya ada berjumpa dengan beberapa orang graduan yang memiliki ijazah namun mereka menyewa tanah yang berkeluasan puluhan ekar untuk menanam ‘rock melon’ dan sayur-sayuran pada skala besar.

“Saya juga terkejut melihat mereka begitu bersungguh dalam pertanian hinggakan ada yang sanggup menyewa tanah di luar Kuala Kangsar untuk bertani,” ujar beliau selepas perasmian Karnival Pendidikan Tinggi dan Kerjaya 2018 di Kuala Kangsar baru-baru ini.

Mohamad Kamil menyarankan kepada kerajaan negeri untuk memberi peluang dan ruang kepada belia yang berminat bertani untuk dijadikannya sebagai sumber pendapatan.

“Sebagai contoh, terdapat tiga buah padang ragut di Kuala Kangsar yang berkeluasan beratus ekar tetapi tidak digunakan sepenuhnya.

“Kenapa tidak diperuntukkan dalam 10 ekar kepada golongan muda ini untuk dikerjakan?

“Baki tanah itu digunakan oleh sektor penternakan untuk menggiatkan lagi sektor ternakan,” tambah beliau.

Mengulas mengenai kadar pengangguran di kalangan penduduk Kuala Kangsar, Mohamad Kamil mengakui ramai anak muda berhijrah ke luar negeri dan bandar-bandar besar khususnya Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang, Johor Bahru malahan Singapura.

Untuk membendung masalah ini sekaligus menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan muda di kawasan ini, Mohamad Kamil berkata dengan program anjuran Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) merupakan salah satu agensi di bawah kerajaan negeri yang mendapat sokongan serta bantuan dari pihak wakil rakyat dan pemimpin setempat.

“Melalui PEKA kita berjaya menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada pencari kerja. Tiada halangan yang dihadapi oleh pencari kerja asalkan mereka mempunyai kelayakan dan impian untuk terus maju. Dengan sikap yang betul mereka pasti berjaya,” katanya.