IPOH: Ahli Parlimen Belia Malaysia, Mohd Adri Adha Mohamad menjadi wakil pertama Perak yang dilantik sebagai pengerusi sebuah jawatankuasa di peringkat Parlimen Belia Malaysia (PBM).

Mohd Adri, 30, telah diberi kepercayaan untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Kerohanian Parlimen Belia Malaysia ketika Bengkel Parlimen Belia Malaysia yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa di Cheras, Kuala Lumpur pada 24 – 26 Januari lalu.

Lulusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai itu berkata, beliau menerima mandat tersebut dan bersedia untuk mengikuti jejak idolanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Keunikan PBM ini sebenarnya terletak kepada gabungan belia dari seluruh Malaysia yang prihatin serta mempunyai pandangan kritikal terhadap permasalahan setiap lapisan umur…ini adalah ruang terbaik untuk kami berkongsi dan melontarkan pendapat masing-masing.

“Sebagai pengerusi, saya akan dibantu oleh ahli kerohanian berbilang agama, bangsa dan latar belakang dari seluruh Malaysia dan ini bermakna sebarang perancangan dan usul dikemukakan adalah hasil gabungan idea semua pihak,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Anak jati Bukit Gantang itu berkata, belia adalah pemangkin utama perkembangan minda yang kritis dan kreatif bagi sesebuah negara, apatah lagi anak muda merupakan generasi pelapis kepimpinan negara.

Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kawasan Bukit Gantang itu turut berpendapat, ramai belia masih tidak sedar akan kekuatan suara mereka dalam mengemukakan pandangan, bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk komuniti.

“Cuma terkadang, penyampaian kita agak agresif dan mungkin tidak melalui saluran yang betul, justeru saya berharap agar penglibatan saya di dalam belia dapat membantu dan merintis golongan anak muda yang berpengetahuan, berpendidikan, beretika dan kritis di seluruh Malaysia,” ujarnya.

Beliau yakin, walaupun dari mata kasar, sumbangan belia nampak kecil, namun sebenarnya beliau boleh membantu mencorakkan kepimpinan dan menjadi harapan negara.

Mohd Adri adalah antara 9 orang Ahli Parlimen Belia Malaysia daripada Perak yang dipilih melalui pengundi secara atas talian (on-line) yang diadakan pada 14 – 20 November tahun lalu.

 

1825d8cb-74af-440a-a120-95578ea9ec23