KERIAN – Kira-kira 2,000 pengunjung di SMK Raja Lope Nor Rashid, Tanjung Piandang dekat sini, mengambil peluang berkunjung ke karnival kerjaya untuk merebut 500 peluang pekerjaan di kawasan itu.

Karnival yang diadakan pada 7 April itu anjuran Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) turut mengabungkan program keselamatan jalan raya kelolaan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif PEKA, Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi berkata seramai 200 orang pencari kerja mendaftar dengan PEKA pada karnival kali ini.

“PEKA menawarkan sebanyak 500 peluang pekerjaan di Tanjung Piandang hari ini dengan membawa lapan buah syarikat yang membuka booth masing-masing.

“Selain itu, kami turut menawarkan peluang ‘drop resume’ kepada para pencari pekerjaan di 20 buah syarikat lain. Pencari kerja boleh emel resume mereka kepada kami agar kami boleh mengatur untuk mendapatkan temuduga dengan syarikat yang ada dengan kami,” ujar beliau ketika ditemui Suara Perak.

PEKA memfokuskan kepada Rural Accelerated Industry Skill for Employment (RAISE) yang bertujuan untuk membantu belia dan beliawanis negeri Perak yang menganggur dan tidak mempunyai peluang dan kelayakan akademik yang tinggi untuk mendapatkan pekerjaan dalam agenda mentransformasi belia luar bandar.

“Syarat-syarat peserta untuk program RAISE ini ialah mereka mempunyai kelulusan akademik serendah Ujian Penilaian Sekolah Rendah, berumur di antara 16 tahun hingga 25 tahun, warganegara Malaysia, boleh membaca, menulis dan mengira serta memiliki keinginan untuk bekerja dan mengubah masa depan.

“Sektor pekerjaan yang ditawarkan ialah sektor perindustrian elektronik, perhotelan, kulinari dan pastri berlokasi di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Lembah Klang,” ujar Ameron.

Program RAISE ini merupakan program yang ditaja oleh Pembiayaan Pembangunan Sumber Manusia dengan kerjasama institusi kemahiran terpilih di mana tempoh latihan akan berlangsung selama dua minggu di bawah Latihan Intensif Pra Persiapan Pekerjaan dan para peserta dijamin memperoleh pekerjaan selepas tamat latihan.

Salah seorang penyedia latihan untuk program RAISE, Eksekutif Pemasaran Pusat Pembangunan Usahawan dan Kemahiran Perak (PESDEC), D. Ruben berkata PESDEC mendapat sambutan yang baik pada bulan Januari yang lalu dan berjaya menempatkan para peserta di industri yang memerlukan mereka yang mahir dalam bidang C & C Milling and Turning Certification Tahap 1 dan 2.

“Program RAISE ini merupakan sesuatu yang baik kerana ia ditawarkan kepada para pelajar luar bandar yang hanya lulus UPSR, PMR atau SPM dan kita membantu mereka untuk keluar dari luar ke bandar dan bekerja di industri tersebut,” ujar beliau.

Pencari pekerjaan, Alia Farzana Suhaimi, 23, berpendapat PEKA membantu beliau serta belia di kawasan luar bandar untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik.

Bagi graduan Automotif dari Institut Kemahiran Belia Negeri Sembilan, Nur Hafizah Norizan pula, peluang yang dibawa oleh PEKA ini dimanfaatkan sebaik mungkin kerana beliau baru tamat pengajian.

“PEKA membawa peluang datang kepada saya, dan saya tidak akan sia-siakan kerana bukan selalu ada karnival kerjaya seperti ini datang sehingga ke kawasan kami,” tambah beliau.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Perak merangkap Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Aktiviti yang menjadi tumpuan ialah perkhidmatan penukaran minyak pelincir percuma kepada 1,000 buah motosikal diwah 125cc anjuran JKJR dan Giatmara serta pemeriksaan motosikal percuma bagi cukai jalan tamat tempoh lebih tiga tahun dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Turut diadakan ialah pertandingan memasak dan teh tarik, pertandingan rekacipta Lego oleh kanak-kanak daripada KEMAS, bantuan rakyat E-Kasih, cabutan bertuah, pemeriksaan kesihatan, kaunter bayaran elektrik, perpustakaan bergerak serta pameran daripada 14 agensi kerajaan seperti Bomba dan Penyelamat Malaysia, JPJ dan JKJR.